Isnin, 25 March 2019 | 3:38pm

Ahli Parlimen pembangkang letak jawatan dalam PAC

KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini meletak jawatan serta-merta sebagai membantah keputusan mengekalkan pengerusinya kepada wakil kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata notis meletak jawatan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan PAS yang menganggotai PAC akan dibuat segera.

Katanya, keputusan ini dibuat berikutan tindakan kerajaan yang dilihat gagal memenuhi janji manifestonya untuk melantik Pengerusi PAC dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

“Dalam janji 16 manifesto Pakatan Harapan, jawatan pengerusi PAC dikhaskan untuk Ahli Parlimen pembangkang. Ini jelas dalam buku manifesto (Pakatan Harapan). Selepas Pilihan Raya Umum, Parlimen melantik (Datuk Seri) Ronald Kiandee. Waktu itu beliau wakil daripada pembangkang, ahli UMNO.

“Ronald kemudian berpindah parti, jadi sebahagian kerajaan, ahli BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Selepas itu, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) membuat kenyataan Ronald akan dikekalkan sebagai Pengerusi PAC, ini jelas bertentangan,” katanya.

Beliau berkata, BN sudah memberi notis cadangan supaya Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dilantik ke jawatan itu, memandangkan beliau mendapat sokongan bukan saja dari BN dan PAS, malah Ahli Parlimen kerajaan sendiri.

“Surat daripada BN sudah dikeluarkan pada 1 Mac, maklumkan kepada Speaker (Dewan Rakyat). Tidak ada maklum balas, sehinggalah kenyataan Perdana Menteri mahu kekalkan Ronald keluar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Maknanya, kata Ismail, Pakatan Harapan ada kuasa sepenuhnya dalam PAC, sedangkan tujuan dilantik pengerusi daripada pembangkang supaya proses semak dan imbang menjadi lebih berkesan dalam melihat kes tertentu yang dibangkitkan.

Beliau juga berkata, pengekalan Ronald sebagai Pengerusi PAC juga mendapat bantahan daripada beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

Sementara itu, diminta mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, yang menyatakan pelantikan Pengerusi PAC hanya akan dibuat selepas semua kes di bawah Ronald diselesaikan dulu, Ismail berkata perkara itu langsung tidak berkait.

“Noraini juga ahli PAC, beliau tahu apa yang dibincangkan PAC. Sebab itu kita cadangkan Noraini kerana beliau ahli PAC. Dia tahu semua kes yang sedang dikendalikan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hasan, berkata tidak perlu bagi Perdana Menteri mencari calon, memandangkan pembangkang yang sepatutnya menentukan calonnya.

“UMNO pembangkang paling ramai (kerusi di Dewan Rakyat), mereka ada hak kemuka calon pengerusi PAC,” katanya.

Selain, Noraini, dua lagi Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC ketika ini adalah Takiyuddin serta Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada persidangan Dewan Rakyat. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X