Isnin, 25 March 2019 | 1:21pm
Ahli Parlimen Kota Bahru yang merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika menjawab soalan media pada persidangan Dewan Rakyat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

UMNO ketuai PAC - PAS

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mencadangkan supaya jawatan Pengerusi PAC diberi kepada Ahli Parlimen pembangkang dari UMNO.

Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ahli Parlimen dari UMNO paling layak dipilih memandangkan mereka mempunyai anggota paling ramai dari segi blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Katanya, kedudukan Pengerusi dan Naib Pengerusi PAC yang diwakili Ahli Parlimen dari kerajaan ketika ini bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH), malah ia disifatkan bukan amalan biasa seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Kerajaan perlu meneruskan amalan melantik Ahli Parlimen pembangkang untuk mengetuai PAC. Kalau zaman Barisan Nasional (BN), pengerusi dari BN dan timbalan (naib) dari pembangkang.

“Sekarang pengerusi dan timbalan (naib) semua dari kerajaan. Kita nampak agak lari jauh dari amalan asal. Paling tidak kalau pengerusi dari kerajaan, timbalan (naib) mesti dari pembangkang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, difahamkan UMNO sudah mengemukakan nama calonnya untuk dipertimbang mengisi jawatan itu.

“Dalam pembangkang UMNO parti paling ramai. Dalam keadaan ini UMNO lebih wajar memilih siapa mahu jadi calon (pengerusi PAC). Saya difahamkan, UMNO sudah mengemukakan calon mereka tapi belum dilantik,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang meletak jawatan sebagai anggota PAC, Takiyuddin berkata, itu lebih kepada tindakan peribadi.

“Saya rasa tindakan Nurul Izzah ada asasnya, satu mungkin dari segi keberkesanan PAC dan kedua dia tidak bersetuju dengan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mengotakan janjinya,” katanya.

Mengikut manifesto PH sebelum ini, jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

PAC dengan 12 anggota, ketika ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH BERSATU-Beluran) selepas beliau keluar parti, manakala naib pengerusinya, Wong Kah Woh (PH DAP-Ipoh Timur).

Anggota PAC yang lain ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Takiyuddin (PAS-Kota Bharu), Datuk Robert Lawson Chuan (GPS-Betong), Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) Wong Chen (PH-Subang), Steven Chong Shiau Yoon (PH-Tebrau), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), dan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

Sementara itu, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon, berkata Dewan Rakyat mengambil maklum dan akan membincangkan mengenai isu jawatan Pengerusi PAC.

“Kita mengambil maklum dan akan bawa (isu jawatan Pengerusi PAC) dalam perbincangan,” katanya.

Rashid berkata demikian selepas Lim Lip Eng (PH DAP- Kepong) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 77(2) berhubung isu terbabit dan meminta supaya Speaker membuat keputusan.

“Permintaan ini ringkas kerana dalam manifesto Pakatan Harapan sudah menjanjikan jawatan Pengerusi PAC perlu dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Pembangkang. Kita harus tunaikan,” katanya yang turut mendapat sokongan Datuk Ahmad Maslan (BN UMNO-Pontian).

Berita Harian X