Isnin, 25 March 2019 | 11:07am
Entri di laman rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim Iskandar.

Sungai Ulu Benut, Sungai Machap tercemar

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan pihak berkuasa menyiasat dengan segera pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap di Simpang Renggam hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan.

Dalam entri di laman rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung pencemaran itu kerana tidak mahu kejadian seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang berulang.

Sultan Johor bertitah, baginda mahu agensi awam yang berkaitan mengemuka laporan secepat mungkin berhubung pencemaran itu.

“Lakukan siasatan dan saya juga mahukan laporan segera berhubung perkara ini.

“Sesiapa sahaja terbabit perlu bertanggungjawab kerana melakukan pencemaran terhadap sungai.

“Ini satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” titah baginda.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, yang juga Menteri Pendidikan dijangka melawat kawasan pencemaran sungai berkenaan tengah hari ini.

542 dibaca
Berita Harian X