Ahad, 24 March 2019 | 1:51pm
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dokumen sokongan tukar alamat kad pengenalan bantu SPR

KUALA LUMPUR: Pertukaran butiran alamat pendaftar pada kad pengenalan baharu yang memerlukan dokumen sokongan membantu usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan alamat seseorang pendaftar adalah benar.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata langkah itu akan membantu membanteras sebarang tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan atau memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga.

“Langkah terbabit juga akan turut dapat membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintergriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat maustatin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dilaporkan berkata bermula 2 Mei ini, permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu.

Langkah itu bertujuan mengelakkan masalah maklumat tidak sahih pada kad pengenalan selepas terdapat kes 50 hingga 100 orang menggunakan alamat sama untuk mendapatkan kad pengenalan.

Berita Harian X