Sabtu, 23 March 2019 | 12:35pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan memeriksa perbarisan kehormat pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar, hari ini. - Foto ihsan Royal Press Office

Pembinaan Hospital Pasir Gudang perlu disegerakan - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah wujud keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, susulan insiden pencemaran sisa kimia baru-baru ini.

Titah Sultan Ibrahim, baginda turut berharap kerajaan menyegerakan pembinaan hospital itu.

“Saya dengar perkara ini sudah pun ada dalam perancangan kerajaan. Oleh itu, saya harap pembinaannya akan dapat segera dilaksanakan.

“Saya percaya bahawa Johor adalah antara penyumbang utama kepada hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu adalah wajar dan adil jika lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan kepada Johor terutamanya untuk menaik taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam dan jaringan lebuh raya,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Dewan Singgahsana Istana Besar, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim.

Bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang, Sultan Johor bertitah supaya kerajaan segera melaksanakan tindakan kawalan dan penguatkuasaan yang bersepadu terhadap semua kilang yang menggunakan bahan kimia beracun.

“Mana-mana kilang yang gagal mematuhi peraturan pengurusan keselamatan dan alam sekitar hendaklah diarahkan tutup serta-merta.

“Bagi jangka masa panjang, saya mahu kerajaan mengkaji semula jenis industri yang terdapat di Pasir Gudang dengan menutup atau memindahkan industri gas dan bahan kimia mudah meletup serta membahayakan penduduk sekitarnya,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut memberi contoh serta mahu semua pihak mengambil pengajaran daripada peristiwa letupan kilang gas di Bhopal, India pada 1984 yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa dan lebih 500,000 orang yang sakit akibat terhidu gas kimia beracun.

Berita Harian X