Sabtu, 23 March 2019 | 11:36am
CHE’ Puan Khaleeda Bustamam menerima pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Besar. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Che' Puan Khaleeda dahului 186 penerima darjah kebesaran Johor

JOHOR BAHRU: Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, mendahului senarai 186 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di Istana Besar, di sini hari ini.

Che’ Puan Khaleeda menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK I).

Turut mendahului senarai, suami Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, Dennis Muhammad Abdullah, diperkenan menerima Darjah Paduka Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata seramai lima individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran datuk.

Katanya, penerima DMIJ ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Md Rofiki A Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Mohd Noorazam Osman.

“Turut menerima DMIJ ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Dr Badrul Hisham Kassim dan Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah.

“Seramai 30 individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim (SIJ), 19 penerima Pingat Kerana Lama Dan Baik Dalam Pekerjaan (PLP),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) kepada 115 individu dan 15 lagi menerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III).

Sambutan Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor bermula malam tadi dengan didahului Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Pasir Pelangi yang turut dihadiri keluarga diraja Johor.

Berita Harian X