Sabtu, 23 March 2019 | 12:18am
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sah meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). - NSTP/Rosela Ismail

Nurul Izzah letak jawatan anggota PAC

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Ya, pejabat saya sudah menerima surat peletakan jawatan beliau," katanya menerusi aplikasi WhatsApp malam ini.

Selain Mohamad Ariff, Nurul Izzah turut menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ketua Whip Pakatan Harapan (PH), Datuk Johari Abdul.

Difahamkan, tindakan Nurul Izzah meletakkan jawatan itu membabitkan isu kepemimpinan PAC.

PH sebelum ini berjanji supaya jawatan Pengerusi PAC dikhaskan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Ronald tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai pengerusi jawatankuasa terbabit selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini.

Nurul Izzah dalam status yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya hari ini menegaskan Pengerusi PAC perlu diisi oleh pembangkang bagi memastikan kebertanggungjawaban pihak eksekutif.

"Speaker sekarang jelas memiliki niat untuk melakukan pembaharuan institusi, untuk memastikan Parlimen berada pada kedudukan yang sama dengan eksekutif," katanya.

2922 dibaca
Berita Harian X