Jumaat, 22 March 2019 | 12:28pm
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah. - Foto Abd Rahim Rahmat

Saya terkejut lihat ribuan hadirin - Saifuddin

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut melihat ribuan bukan Islam, termasuk Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Arden, turut hadir menyaksikan umat Islam menunaikan solat Jumaat di tanah lapang tidak jauh dari Masjid Al Noor,” kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang berada di Christchurch untuk menziarahi serta memberi bantuan kepada rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden serangan pengganas kulit putih di dua masjid di bandar itu pada Jumaat lalu, berkata ramai juga pemimpin agama bukan Islam dari seluruh New Zealand dan beberapa negara lain turut hadir.

“Ramai pemimpin agama bukan Islam, bukan hanya dari New Zealand tetapi negara lain dilihat turut hadir bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap umat Islam yang menunaikan solat Jumaat diimamkan Imam Gamal Fouda, di sini.

“Khatib ketika membaca khutbah Jumaat menegaskan bahawa penduduk Islam di New Zealand bersatu hati dan tidak akan tunduk dengan tekanan dan keganasan atau harapan umat Islam akan bertindak balas,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Dianggarkan lebih 3,000 umat Islam menyertai solat Jumaat di kawasan tanah lapang berhampiran Masjid Al Noor di Christchurch dan buat pertama kali turut disaksikan oleh Ardern bersama ribuan penduduk bukan Islam.

Saifuddin juga melahirkan rasa bersyukur kerana berkesempatan melawat Masjid Al Noor dan menunaikan solat Jumaat bersama umat Islam lain.

“Masyarakat antarabangsa boleh melihat bahawa hubungan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam di New Zealand kini semakin rapat.

“Malah, ramai bukan Islam di sini terutama wanita kelihatan turut memakai tudung atau selendang sebagai tanda sokongan, solidariti dan menghormati umat Islam yang terbunuh dalam serangan ke atas dua masjid di sini.

“Mereka juga menyaksikan majlis pengebumian sebahagian jenazah umat Islam yang maut akibat serangan berkenaan di sebuah tanah perkuburan tidak jauh dari lokasi kejadian,” kata Saifuddin yang turut menziarahi tiga rakyat Malaysia yang tercedera dalam insiden Jumaat lalu.

3600 dibaca
Berita Harian X