Jumaat, 22 March 2019 | 11:31am
Imam Masjid Al Noor Christchurch, Gamal Fouda, menyampaikan khutbah Jumaat. -Foto AFP
Ribuan penduduk Islam menyertai solat Jumaat di Hagley Park, Masjid Al Noor, diketuai imam Gamal Fouda. -Foto AFP

'NZ tidak dapat dipecahbelahkan' - petikan khutbah Jumaat imam Masjid Al Noor

CHRISTCHURCH: Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda membacakan khutbah sempena solat Jumaat di Masjid Al Noor di sini, genap seminggu insiden tembakan yang mengorbankan 50 jemaah minggu lalu.

Berikut adalah petikan khutbah disampaikan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam yang berkumpul di perkarangan masjid:

“Jumaat lalu, saya berdiri dalam masjid ini dan melihat kebencian dan kemarahan pengganas yang membunuh dan menyebabkan 50 jemaah syahid, mencederakan 42 lain sekali gus meruntun perasaan jutaan yang lain di seluruh dunia.

“Pada hari ini di tempat sama, saya melihat dan menyaksikan perasaan kasih dan belas ihsan ribuan rakyat New Zealand dan penduduk dari segenap benua, mengisi jutaan lain yang tidak berada di sini secara fizikalnya, namun semangat.

“Pengganas ini mahu memecahbelahkan negara kita dengan ideologi jahat yang memecahbelahkan dunia.

“Namun sebaliknya, kita menunjukkan New Zealand tidak dapat dipecahkan dan dunia dapat melihat kita sebagai contoh kasih sayang dan bersatu.

“Kita amat bersedih, namun kami tidak berpecah belah. Kita masih hidup. Kita bersatu. Kita bersungguh-sungguh untuk tidak membiarkan sesiapa memecahbelahkan kita...

“Ideologi jahat ketuanan kulit putih tidak membawa apa-apa makna buat kita pada mulanya, namun ia menyerang kita paling teruk. Jumlah mangsa yang terbunuh bukan biasa, namun sokongan di New Zealand amat luar biasa.

“Kepada keluarga mangsa, orang tersayang tidak mati sia-sia. Darah mereka mengalir dengan benih harapan. Menerusi mereka, dunia melihat keindahan Islam dan keindahan penyatuan kita..

“Mereka adalah yang terbaik di kalangan kita, diambil daripada kamu pada hari yang terbaik, di tempat terbaik dan melaksanakan suruhan paling mulia.

“Mereka bukan hanya syahid kerana Islam, namun negara ini. Kehilangan mereka adalah satu kekuatan terhadap penyatuan New Zealand. Pemergian mereka adalah satu kesedaran bukan hanya untuk negara, namun seluruh kemanusiaan..

“Berhimpunnya kita di sini, dengan semua kepelbagaian adalah bukti kemanusiaan bersama. Kita berada di sini untuk satu tujuan, kebencian akan dirungkai dan kasih sayang akan menggantikannya.

“Kepada rakyat New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas air mata anda. Terima kasih untuk haka anda. Terima kasih atas kasih sayang dan belas ihsan.” -AFP


Ribuan penduduk Islam menyertai solat Jumaat di Hagley Park, Masjid Al Noor, diketuai imam Gamal Fouda. -Foto AFP

Berita Harian X