Khamis, 21 March 2019 | 5:17pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. - Foto Amran Hamid

Kerajaan negeri ucap takziah buat keluarga Muhammad Haziq

ALOR SETAR: Kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi tembakan pengganas di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang merakamkan ucapan itu, turut mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya berasa cukup hiba menerima berita mengenai Allahyarham Mohd Haziq yang disahkan terkorban dalam kejadian serangan ganas itu.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata pihaknya juga mendoakan ayah Allahyarham, Mohd Tarmizi Shuib, 42, dan adiknya, Mohd Haris Mohd, 12, yang sedang menjalani rawatan, segera sembuh.

Kementerian Luar awal pagi ini mengesahkan bahawa Muhammad Haziq, terbunuh, manakala bapanya, Mohd Tarmizi Shuib cedera dalam serangan itu dan sedang menerima rawatan.

Dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

290 dibaca
Berita Harian X