Rabu, 20 March 2019 | 8:24pm
Jeleha Awang 70, menabur bunga pada pusara anaknya juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang terlibat dalam kemalangan dilanggar sayap pesawat peribadi di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah. - Foto Abdullah Yusof
Nor Azawiah Md Usuf (dua kiri) dan ibu Jeleha Awang 70, (kiri) sedih ketika majlis pengebumian juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang terlibat dalam kemalangan dilanggar sayap pesawat peribadi di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah. - Foto Abdullah Yusof

'Perginya satu-satu anak lelaki saya'

BATU GAJAH: “Mak cik sedih kerana arwah satu-satunya anak lelaki yang ada selepas pemergian abang sulungnya akibat lemas lebih 10 tahun lalu.”

Itu luahan Jeleha Awang, 70, ketika ditemui selepas urusan pengebumian anaknya Allahyarham Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, di sini, hari ini.

Mohd Ruzaimi, 39, yang bekerja sebagai juruteknik Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) yang parah selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya dirempuh sebuah pesawat swasta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, jam 6.45 petang semalam.

Jeleha berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu sebulan lalu.


Nor Azawiah Md Usuf (dua kiri) dan ibu Jeleha Awang 70, (kiri) sedih ketika majlis pengebumian juruteknik Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang terlibat dalam kemalangan dilanggar sayap pesawat peribadi di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah. - Foto Abdullah Yusof

“Arwah anak kedua daripada tiga adik-beradik. Selepas kematian abang sulung, arwah pula pergi meninggalkan kami. Sekarang, anak yang bongsu (iaitu) anak perempuan saja yang tinggal,” katanya.

Beliau mengakui terkejut ketika dimaklumkan kejadian itu namun reda dengan ketentuan Allah SWT.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi Masjid Toh Puan Besar Hatijah, di sini, apabila jenazah Allahyarham yang dibawa dengan van jenazah dari Hospital Sungai Buloh tiba pada jam 5 petang untuk sembahyangkan.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan pada jam 5.45 petang dengan dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, sanak saudara dan rakan terdekat.

Bapa saudara Mohd Ruzaimi, Roslan Latiff, 58, mewakili keluarga Allahyarham mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu dalam urusan pengebumian dan hadir ke tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Isteri Allahyarham, Nor Azawiah Md Usuf, bagaimanapun dihalang ketat oleh kakitangan MAHB daripada ditemui pemberita.

5638 dibaca
Berita Harian X