Rabu, 20 March 2019 | 4:36pm
ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon, (kanan) melihat tempat pembuangan bahan pepejal dan bungkusan berisi serbuk dipercayai sisa kimia dari China yang dibuang secara haram sejak dua ke tiga tahun lalu di tapak pelupusan sampah haram di Bukit Teh, Bukit Mertajam. - Foto Rosli Ahmad

Bukit Teh jadi tempat buangan sisa pepejal

BUKIT MERTAJAM: Busuk dan meloyakan!

Begitulah keadaan di kawasan lapang berkeluasan hampir dua hektar dekat Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh di sini, yang dijadikan tempat membuang sisa pepejal secara haram sejak tiga tahun lalu.

Wakil media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon, yang meninjau kawasan itu terkejut, hari ini, apabila menemui ratusan longgokan sisa pepejal berbau busuk dan berdebu, dikhuatiri sisa bahan kimia berbahaya.

Setakat ini, belum diketahui jenis sisa pepejal itu tetapi berdasarkan kepada bungkusan, kebanyakan bahan itu dipercayai dari China.

Kawasan itu yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan ternakan ayam, terletak jauh dari kawasan perumahan.

Tinjauan itu turut disertai wakil Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang kemudiannya mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta membuang sampah di kawasan itu.


ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon (dua dari kanan), melihat beberapa timbunan bahan buangan dipercayai sisa kimia yang ditemui di ladang kelapa sawit, Bukit Teh, Bukit Mertajam. - Foto Rosli Ahmad

Pemilik tanah itu diberi notis kerana membiarkan kawasan berkenaan tanahnya pusat pembuangan sisa pepejal secara haram.

Khai Loon berkata, beliau menerima aduan ada beberapa individu menceroboh kawasan yang dahulunya lombong pasir, dengan membuang pelbagai sisa pepejal secara haram sejak dua ke tiga tahun lalu.

Masalah itu pernah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pelbagai tindakan diambil, termasuk membuat rondaan, namun masih gagal menahan individu yang melakukan perbuatan itu.

Beliau percayai perbuatan membuang sisa pepejal itu dilakukan pada hari bekerja dan malam.

“Kita pernah mengutarakan kepada MPSP untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kawasan ini sangat terpencil dan menyukarkan pemasangan disebabkan tiada liputan.

“Sehingga kini, kita tidak dapat mencari siapa dalang, namun kita tetap mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan menjalankan siasatan serta membersihkan kawasan ini kerana kita bimbang ia menjadi semakin serius,” katanya.

Mengulas lanjut, Khai Loon berkata walaupun kawasan pembuangan sampah itu jauh dari kawasan perumahan, masalah pembuangan sisa pepejal itu perlu diselesaikan segera.

Berikutan itu beliau meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel sisa pepejal yang dibuang untuk diuji bagi memastikan kawasan itu tidak dicemari.

“Suatu inisiatif perlu diambil dan kita syorkan supaya membina pondok kawalan di hadapan pintu masuk untuk menghalang lori yang membawa sampah tidak lagi memasuki kawasan ini.

“Kita tidak tahu jenis sisa pepejal yang dibuang itu, apatah lagi melihat kepada bungkusan tertera kebanyakannya dari China dan ditakuti adalah bahan kimia,” katanya.

Sementara itu, pekerja ladang, Goh Sing Huat, 61, berkata dia pernah mengadu kepada pihak berkuasa berkaitan masalah itu kerana tidak tahan dengan bau busuk, selain bimbang menjejaskan kesihatannya.

“Terus terang saya tidak tahan melihat kawasan tanah lapang yang dahulunya lombong pasir kini menjadi pusat pembuangan sampah secara haram.

“Sepanjang bekerja di sini selama 30 tahun, masalah ini mula melanda sejak dua ke tiga tahun lalu hingga saya membuat aduan kerana sudah tidak boleh hidup dengan keadaan seperti ini,” katanya.

1849 dibaca
Berita Harian X