Rabu, 20 March 2019 | 2:59pm
DR Dzulkefly Ahmad melawat klinik pergigian bergerak pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di Kementerian Kesihatan. - Foto Luqman Hakim Zubir

5,848 terkesan dengan pencemaran Sungai Kim Kim

PUTRAJAYA: Seramai 5,848 kanak-kanak dan orang dewasa dirawat sejak 8 Mac lalu akibat pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 951 mangsa dimasukkan dalam wad, manakala 25 pula dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, kementerian juga sudah menggerakkan 762 kakitangannya dalam menangani bencana berkenaan.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur kerana tiada kematian dalam kejadian berkenaan. Tidak diisytiharkan juga darurat. Rakyat hendak penjenayah yang membuang sisa toksik di sungai itu diambil tindakan serta diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Dasar dan Perancangan Strategik Kesihatan Pergigian, Dr Norliza Mohamed.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, lapan daripada sepuluh rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit berkaitan gigi.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, hanya 27.4 peratus orang dewasa mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam satu tahun, manakala hanya 42 peratus orang dewasa berjumpa doktor gigi dalam tempoh dua tahun.

Katanya, peratusan rendah itu kebanyakannya disebabkan oleh persepsi orang ramai bahawa mereka tidak mempunyai masalah mulut, iaitu merangkumi 68 peratus daripada hasil kajian.

“Mengapa perkembangan ini berlaku? Sebab mereka lihat persoalan keterampilan gigi ini lebih daripada sudut estetik. Mereka tertarik hanya kepada pemutihan serta kecantikan gigi.

“Ramai orang tidak berminat dengan nilai-nilai estetik dan akhirnya ia ditinggalkan begitu sahaja.

“Sangat malang jika perkara seperti itu berlaku. Ini daripada paradigma umum bahawa gigi dikaitkan dengan kecantikan, bukan penyakit seperti penyakit tidak berjangkit utama. Ini sangat mengecewakan,” katanya.

377 dibaca
Berita Harian X