Rabu, 20 March 2019 | 1:44pm
ZURAIDA (tengah) beramah mesra dengan petugas ketika mengadakan lawatan di Pusat Rawatan Awal (Medic Base) Stadium Tertutup MPPG dan akan ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Garis panduan mohon lesen kilang kimia disemak - Zuraida

PASIR GUDANG: Kerajaan akan meneliti semula garis panduan permohonan dan pembaharuan lesen kilang membabitkan penggunaan serta pelupusan bahan kimia berbahaya di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan di peringkat kabinet berhubung perkara itu bagi mengelak insiden pencemaran Sungai Kim Kim, di sini, berulang.

Katanya, perkara itu akan dilakukan selepas pihaknya selesai mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung operasi di Sungai Kim Kim.

“Selepas ini, kementerian akan mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama PBT dan JAS bagi menambah baik piagam, operasi dan pemantauan kilang membabitkan penggunaan dan pelupusan sisa kimia.

“Itu (bawa ke peringkat Kabinet dan Parlimen) memang dalam tindakan selanjutnya apabila saya sudah duduk (mesyuarat) dengan PBT dan ini perkara yang akan kita berikan penetapan dan (sediakan) garis panduan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan Awal dan Pos Kawalan Bomba (PKB) di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis.

Zuraida berkata, MPPG dan JAS turut diarah melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap semua 250 kilang yang menggunakan bahan kimia di Pasir Gudang bagi mengelak insiden pencemaran berulang.

“Peralatan atau mesin digunakan kilang perlu dipantau keberkesanan operasinya kerana ada tempoh mungkin enam bulan ia tidak dapat beroperasi lagi dengan baik dan mungkin ada kebocoran sehingga sisa buangan terutama bahan kimia mengalir ke sungai,” katanya.

Katanya, dalam operasi Ops Sungai Kim Kim yang bermula sejak 7 Mac lalu, seramai 153 pegawai dan anggota JBPM, termasuk 70 pakar Pasukan Unit Bahan Berbahaya ( HAZMAT) dari seluruh negara berkampung di Pasir Gudang sehingga hari ini.

105 dibaca
Berita Harian X