Rabu, 20 March 2019 | 12:55pm
TUN Dr. Mahathir Mohamad menjawab soalan pada sidang media selepas menjawab di dalam Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Malaysia Airlines perlu kekal penerbangan nasional - Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih berhasrat mengekalkan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) sebagai syarikat penerbangan nasional.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kekangan kewangan menyebabkan kerajaan berdepan kesukaran membantu syarikat itu ‘terbang’ seperti sebelum ini.

Mengakui masih menyayangi Malaysia Airlines, Dr Mahathir berkata, cadangan menjual syarikat penerbangan kebanggaan negara itu adalah antara pilihan perlu dipertimbang selepas mengambil kira kerugian ditanggung syarikat berkenaan.

Walaupun pengurusan Malaysia Airlines ketika ini turut dibarisi pengurus dari luar negara, Perdana Menteri berkata, syarikat berkenaan tetap mengalami kerugian.

“Saya sayang MAS (Malaysia Airlines). Saya mahu MAS dijadikan ‘airline’ (syarikat penerbangan) nasional. Tetapi kita nampak seolah-olah kita tidak mampu

“Ada pihak tertentu dari dalam dan luar mahu membeli MAS, maka kita tidak menolak. Kita akan kaji sama ada jual atau tidak.

“MAS masih mengalami kerugian walaupun kita memilih pengurusan dari luar, maka satu daripada cara adalah menjualnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbang beberapa langkah terhadap Malaysia Airlines, termasuk kemungkinan menutupnya berikutan kerugian dihadapi sejak beberapa tahun lalu yang menyumbang sebahagian besar susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Mengulas cadangan bekas pegawai tinggi Malaysia Airlines supaya syarikat penerbangan negara itu dikekalkan, Dr Mahathir berkata, kerajaan turut menimbang kemungkinan menukar, memperkecil atau memperbesar saiz pengurusannya.

“Syarikat berkenaan mempunyai banyak pesawat tidak digunakan sepenuhnya, sekali gus menyumbang kepada kerugian,” katanya.

Perdana Menteri berkata, strategi kerajaan sebelum ini untuk menyuntik dana RM6 bilion untuk menolong Malaysia Airlines, termasuk melaksanakan skim pemisahan sukarela (MSS) dengan memberhentikan 6,000 kakitangan tidak banyak membantu mengurangkan kerugian syarikat itu.

“Selepas memberhentikan (kakitangan), MAS tidak ‘terbang’ seperti dulu, sudah tamatkan banyak penerbangan, ini bermakna dari segi pengurangan kakitangan dan kerja, tidak ada beza.

“Kita kurangkan pekerja tetapi kekalkan status lama, baru ada simpanan. Jika kurang pekerja tetapi kurang kerja, ia tiada kelebihan,” katanya.

1317 dibaca
Berita Harian X