Rabu, 20 March 2019 | 12:44pm
Mohamed Azmin (empat dari kanan) menyampaikan replika cek program pembangunan RISDA kepada Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad (kiri) pada Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, di Baling, hari ini. Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kiri) dan Pengerusi RISDA, Rosely Kusip (tiga dari kanan). - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kerajaan lulus RM338 juta bantu pekebun kecil

BALING: Kerajaan meluluskan peruntukan RM338 juta kepada 552,543 pekebun kecil di seluruh negara pada tahun ini melalui Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peruntukan itu merangkumi Program Tanam Semula Getah; Prasarana Asas Pertanian; Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Keusahawanan; Skim Insentif Produktiviti Getah; Khidmat Pengembangan dan Latihan Pekebun Kecil.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM37 juta diagihkan kepada RISDA Kedah yang akan memberi manfaat kepada 73,642 pekebun kecil di seluruh negeri ini.

“Kerajaan komited dan kita bersungguh-sungguh ikhlas membantu membina masa depan lebih selamat serta terjamin bagi warga pekebun kecil.

“Pekebun kecil ini membanting tulang, bekerja gigih dan kuat, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya berucap pada Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang, di sini, hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu, Mohamed Azmin turut menyampaikan bantuan Prasarana Asas Pertanian berjumlah RM1.5 juta dan RM3.5 juta bagi Skim Insentif Produktiviti Getah serta Program Peningkatan Produktiviti Getah di negeri ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, RISDA bersedia membuka kaunter khas dalam kadar segera bagi membantu pekebun membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Saya dimaklumkan terdapat masalah dihadapi pekebun kecil termasuk masalah birokrasi tuntutan IPG. Kita maklum RISDA wujud di setiap daerah dan negeri, tetapi Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak ada struktur sama.

“Jadi, pekebun kecil perlu melalui satu proses sulit untuk membuat tuntutan kepada LGM. Saya sudah berbincang dengan RISDA dan mereka berlapang dada dan sedia membuka kaunter khas bagi membantu pekebun kecil membuat tuntutan,” katanya.

Selain itu, beliau juga akan mencadangkan kepada LGM supaya Jawatankuasa Perakuan dan Penilaian Harga Getah mesti dianggotai wakil pekebun kecil dalam jawatankuasa berkenaan.

“Kita juga dimaklumkan pekebun kecil ini menghadapi masalah apabila proses Kandungan Getah Basah kepada Kandungan Getah Kering, pelbagai diskaun, kadar ditentukan pekilang dan ini tidak adil kepada mereka.

“Esok saya akan menghubungi LGM dan mencadangkan perkara ini diberikan pertimbangan segera supaya pekebun kecil mempunyai suara dalam jawatankuasa berkenaan bagi membela nasib mereka,” katanya.

Berita Harian X