Rabu, 20 March 2019 | 10:05am
Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Pusat Rawatan Awal Stadium Tertutup Pasir Gudang akan ditutup secara rasmi jam 12 tengah hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pusat gerakan, rawatan sisa kimia ditutup hari ini

PASIR GUDANG: Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Pusat Rawatan Awal Stadium Tertutup Pasir Gudang akan ditutup secara rasmi jam 12 tengah hari ini.

Pusat gerakan berkenaan dibuka di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sejak 12 Mac lalu, manakala pusat rawatan di stadium dibuka pada 14 Mac, masing-masing bagi menguruskan operasi dan rawatan berkaitan pencemaran sisa kimia di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah Johor Bahru yang diadakan malam tadi.

“Dengan perkembangan positif di Sungai Kim Kim, dua pusat berkenaan akan ditutup secara rasmi pada jam 12 tengah hari ini.

“Namun kerja pemantauan oleh agensi terbabit akan diteruskan mengikut keperluan agensi masing-masing.

“Orang awam yang mengalami simptom seperti pedih mata, mual, muntah, sesak nafas dan pening boleh dapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Sementara itu,Dr Sahruddin berkata, hanya lapan pesakit baharu yang dirujuk ke hospital sehingga jam 12 tengah malam tadi.

“Jumlah pesakit yang dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) adalah seramai 40 orang.

“Hanya dua pesakit yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan dan mereka dilaporkan dalam keadaan stabil, ” katanya.

392 dibaca
Berita Harian X