Selasa, 19 March 2019 | 8:23pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Siri Ketujuh Bilangan 2 Tahun 2019 di Bangunan Perdana Putra hari ini.Turut sama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (kanan). - Foto BERNAMA

Isu minyak sawit: Malaysia akan bertindak balas - PM

PUTRAJAYA: Malaysia akan bertindak balas sekiranya negara Kesatuan Eropah (EU) meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi mereka terhadap minyak sawit negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mengutus surat kepada semua ketua negara EU berhubung tindakan yang akan diambil oleh Malaysia.

“Kerajaan bersetuju kita patut bertindak lebih agresif dalam menangani isu ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-7 di sini, hari ini.

Parlimen Eropah dilaporkan sedang mengharamkan penggunaan minyak sawit untuk minyak bio atau ‘biofuel’, sementara rangkaian runcit British, Iceland, dilaporkan sudah mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penggunaan komoditi itu.

Malaysia adalah pengeluar utama dunia untuk minyak sawit. Malaysia dan Indonesia menghasilkan hampir 90 peratus minyak sawit dunia.

Industri minyak sawit negara berhadapan dengan kritikan meluas dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia dikaitkan dengan penebangan hutan dan sering kali dituduh menjadi punca jerebu.

Malah, EU turut mencadangkan resolusi supaya menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel yang dihasilkan menerusi cara tidak mapan.

Malaysia berulang kali menegaskan sudah melaksanakan amalan terbaik termasuk penilaian kesan alam sekitar dalam mewujudkan dan mengendalikan ladang kelapa sawit serta melaksanakan konsep Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2030 yang menyeimbangkan pembangunan sosial dan ekonomi dengan alam sekitar.

2623 dibaca
Berita Harian X