Selasa, 19 March 2019 | 4:39pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Nor Azila Abd Wahid isteri kepada Rahimi Ahmad sambil diperhati Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo (kiri) dan Phee Boon Poh (tiga dari kiri) di Christchurch, New Zealand. - Foto ihsan Azrul Mahathir Aziz

Rahimi sudah boleh gerakkan jari

GEORGETOWN: Mangsa tembakan di Christchurch, New Zealand, Rahimi Ahmad, 39, sudah mula menunjukkan tindak balas dengan menggerakkan jari.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, ketika melawat Rahimi di Hospital Christchurch, hari ini.

Azrul Mahathir berkata, keadaan mangsa kini stabil dan positif selepas menjalani pembedahan mengeluarkan dua peluru.

“Beliau sudah menunjukkan perkembangan positif dan dijangka menjalani satu lagi pembedahan petang ini bagi membuang serpihan peluru,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Azrul dan EXCO Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, mewakili kerajaan negeri bagi menemani ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan abangnya, Rosdi Ahmad, 42, ke Christchurch, bagi melihat perkembangan mangsa tembakan itu.

Selain Rahimi, Mohd Tarmizi Shuib, 46, dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Christchurch, manakala anak sulung Mohd Tarmizi iaitu Haziq, belum ditemui.

Anak sulung Rahimi, Ahmad Razif, 11, yang dilaporkan trauma selepas kejadian kini semakin baik.

1954 dibaca
Berita Harian X