Selasa, 19 March 2019 | 4:03pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Hafiz Sohaimi

Hampir 120,000 tanda tangan sokong wajib vaksin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerima petisyen mengandungi hampir 120,000 tandatangan menyokong usaha mewajibkan vaksin kepada semua bayi dan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata petisyen yang disokong 15 badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Medical Mythbusters Malaysia (M3) mengandungi 119,932 tanda tangan pelbagai pihak.

“Tandatangan ini merangkumi pengamal perubatan dan orang awam yang menyokong usaha Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan imunisasi dan vaksin kepada bayi serta kanak-kanak.

“Saya menerima petisyen ini di Putrajaya semalam yang diserahkan beberapa wakil NGO diketuai EXCO Kesihatan Am M3, Dr Mohd Fadhli Mohd Fauzi.

“Saya terharu dengan sokongan ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas petisyen yang dihantar oleh 15 NGO kepadanya semalam, membabitkan usaha kerajaan untuk mewajibkan vaksin kepada bayi dan kanak-kanak.

M3 menerusi akaun Facebook rasminya semalam, memaklumkan petisyen yang bermula sejak 25 Februari lalu, adalah sebahagian daripada kempen #WajibVaksin bagi menyokong usaha kerajaan mewajibkan vaksin yang terkandung dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah memberi garis masa khusus kepada Jawatankuasa Pasukan Khas yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi berkaitan, sebelum satu kertas cadangan dibentang kepada Kabinet.

Tanpa mendedahkan tempoh diberi kepada jawatankuasa itu, beliau memberi jaminan ia akan mengambil kira semua pandangan dan aspek sebelum satu cadangan dibuat.

“Ada tujuh, lapan faktor perlu diperhatikan sebelum dapat diputuskan sama ada mewajibkan vaksin, atau apakah pendekatan yang sesuai kelak.

“Pendekatan itu akan kita rumuskan selepas kajian teliti, menimbang kebaikan dan keburukan, had umur, pengecualian, persoalan perundangan, pindaan undang-undang dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian X