Selasa, 19 March 2019 | 2:56pm
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemuramah oleh para wartawan mengenai perkembangan terbaharu pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

395 pesakit pencemaran bahan kimia Pasir Gudang

KUALA LUMPUR: Seramai 395 pesakit direkod mendapatkan rawatan akibat pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, setakat 12 tengah malam tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia membabitkan 304 kes di pusat rawatan lapangan milik kerajaan dan 91 kes di klinik serta fasiliti kesihatan awam dan swasta lain.

Secara keseluruhan, katanya, bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan kesan keracunan pencemaran bahan kimia itu menunjukkan penurunan.

“Terkini, ada 14 pesakit dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 32 pesakit di Hospital Sultan Ismail (HSI), menjadikan keseluruhan 46 pesakit dirawat di hospital kerajaan.

“Setakat ini, hanya dua pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan bermula semalam, kedua-duanya tidak lagi perlu diintubasi.

“Namun, seorang daripadanya iaitu kanak-kanan perempuan berusia 12 tahun perlu kembali diintubasi. Kedua-duanya dilapor dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kes baharu berkenaan tidak berkaitan dengan penemuan beberapa tong biru, dipercayai mengandungi bahan kimia di Sungai Masai dan Sungai Sembilang baru-baru ini.

“Tak ada (kes baharu) disebabkan tong biru,” katanya.

Semalam, penduduk Taman Tanjung Puteri Resort di Pasir Gudang gempar dengan penemuan beberapa tong biru dipercayai berisi sisa bahan kimia, di Sungai Sembilang, kira-kira dua kilometer dari Sungai Kim Kim.

Selain itu, satu lagi lokasi baharu iaitu Sungai Masai, di sini, dipercayai turut menjadi tempat pembuangan sisa kimia berbahaya apabila pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan kira-kira 10 tong biru dipercayai berisi sisa kimia kelmarin, sebelum kerja pengumpulan tong berkenaan dilakukan.

Mengenai kejayaan membersihkan seluruh kawasan Sungai Kim Kim seluas 1.5 kilometer (km) yang tercemar bahan kimia, Dr Dzulkefly berkata, ia melegakan semua pihak kerana tiada lagi bahaya toksik berkenaan.

“Kita harap dan berdoa supaya sudah menyaksikan pengakhiran kepada episod keracunan ini,” katanya.

Berita Harian X