Selasa, 19 March 2019 | 11:07am
Bayaran khas RM500 secara ‘one-off’ kepada penerima pencen di bawah RM1,000 akan dibayar mulai 20 Mac ini. - Foto hiasan

75,352 pesara terima bayaran khas RM500 esok

PUTRAJAYA: Bayaran khas RM500 secara ‘one-off’ kepada penerima pencen di bawah RM1,000 akan dibayar mulai esok.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bayaran bantuan itu dilaksanakan selaras dengan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada 2 November tahun lalu.

“JPA bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sudah mengenal pasti senarai penerima pencen di bawah RM1,000 bagi memastikan bantuan secara ‘one-off’ atau sekali beri ini dibayar kepada penerima pencen yang layak.

“Hasil semakan mendapati seramai 75,352 penerima pencen di bawah RM1,000 layak menerima bayaran bantuan berkenaan,” katanya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, JPA memaklumkan, semakan secara menyeluruh itu dibuat melalui pelbagai agensi antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Akauntan Negara, Bendahari Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengulas lanjut, kenyataan itu menjelaskan keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan pembayaran sebanyak RM500 diharap dapat memberi keselesaan dan memenuhi keperluan semasa pesara kerajaan yang terbabit.

Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai pembayaran bantuan, boleh menghubungi talian 03-8885 4648/ 4432/4667 pada hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada bantuanoneoff@jpa.gov.my.

9674 dibaca
Berita Harian X