Selasa, 19 March 2019 | 1:35am

Bekalan air terjejas akibat gangguan elektrik di Seri Kembangan

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 59 kawasan Petaling, Hulu Langat dan Sepang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik menyebabkan beberapa rumah pam di kawasan sekitar Seri Kembangan, dekat sini, terhenti operasi lewat petang semalam.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata proses baik pulih sedang dijalankan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan keadaan kembali seperti sedia kala.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa kawasan dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) akan mengambil tindakan perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pelanggan boleh merujuk aplikasi telefon pintar ‘Air Selangor’ dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk senarai kawasan terjejas dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa. - BERNAMA

393 dibaca
Berita Harian X