Isnin, 18 March 2019 | 6:23pm
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Sulong Jamil Mohd Shariff, ketika sidang media isu Kesatuan Eropah menyekat minyak sawit dan kos sara hidup Peneroka di Menara Felda, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Peneroka setuju elaun sara hidup FELDA dikurangkan RM1,000

KUALA LUMPUR: Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersetuju bayaran elaun sara hidup dikurangkan kepada RM1,000.

Bagaimanapun, bagi bayaran wang ehsan, mereka meminta kerajaan menambah RM500 bagi mengurangkan beban kos sara hidup golongan berkenaan.

Ketua Peneroka FELDA, Sulong Jamil Mohd Shariff, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) dengan pengurusan FELDA yang berlangsung di Menara FELDA hari ini.

Katanya, persetujuan itu juga mengambil kira kedudukan kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi FELDA berikutan masalah hutang tinggi yang dihadapi agensi itu.

“Kita faham dengan kedudukan FELDA sekarang yang tidak ada banyak aliran tunai. Justeru, kita setuju supaya hanya RM1,000 diberikan sebagai (pinjaman) elaun sara hidup dan baki RM500 yang sepatutnya dibayar FELDA itu, kita minta jasa baik kerajaan berikan sebagai tambahan (wang ehsan),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Ketua Peneroka dan Belia FELDA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar; Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Anuar Malek; Pengarah Perladangan FELDA, Izham Mustafa; Presiden Majlis Belia FELDA, Muhammad Fadzli Hassan dan Presiden Kami Anak FELDA (KAF), Fakhrul Razzi Mohd Habib.

Sebelum ini, peneroka FELDA menerima elaun sara hidup (dalam bentuk pinjaman) RM1,500 bagi 10 ekar (4 hektar) tanah untuk program tanam semula atau RM150 bagi setiap ekar (0.4 hektar) dimulakan sejak 2016.

FELDA membelanjakan RM500 juta setahun bagi membiayai pemberian elaun sara hidup kepada 30,000 peneroka yang terbabit dengan program penanaman semula.

Sulong Jamil berkata, keputusan yang dicapai itu adalah keputusan menang-menang kepada semua pihak yang mana hutang peneroka kepada FELDA dapat dikurangkan dan dalam masa yang sama mengurangkan masalah aliran tunai dihadapi FELDA.

Katanya, dengan keputusan terbaru itu, FELDA kini boleh menumpukan usaha menyelesaikan masalah hutang lain yang ditanggungnya.

Beliau menjelaskan keputusan itu juga membolehkan FELDA menumpukan usaha untuk mencari dana baharu bagi membayar balik baki RM500 daripada elaun berkenaan.

“Namun, kita harap sangat kerajaan bantu FELDA untuk selesaikan isu baki RM500 daripada elaun sara hidup itu, dan wang itu diberikan kepada peneroka sebagai satu pemberian tanpa perlu dibayar balik (dikira pinjaman),” katanya.

Sementara itu, Othman berkata, dengan pemberian elaun sara hidup RM1,000 itu, FELDA dapat mengurangkan kos pembiayaan elaun sara hidup yang tinggi dihadapi FELDA ketika ini.

Katanya, dengan itu, FELDA akan memberi tumpuan dalam menyelesaikan pelbagai hutang lain yang ditanggungnya.

“Dalam masa sama, dengan pembayaran elaun sara hidup RM1,000 itu, membolehkan FELDA berusaha mencari jalan penyelesaian untuk membayar baki elaun sebanyak RM500 itu.

“Kita yakin dengan pemberian RM1,000 itu, kita tidak menghadapi masalah untuk membayar mengikut tempoh ditetapkan dan cadangan pengurangan pinjaman itu adalah daripada peneroka sendiri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili mereka,” katanya.

Sebelum ini, Othman dalam wawancara ekslusif dengan BH menyatakan kerajaan bersetuju memberi pinjaman RM577 juta susulan permohonan dikemukakan pihak lembaga bagi menangani isu aliran tunai yang kritikal, selain bagi menstruktur atau mengambil alih hutang peneroka menjangkau RM8 bilion.

Katanya, sebahagian pinjaman, iaitu RM77 juta sudah diterima untuk menjelaskan bayaran elaun sara hidup November dan Disember, tahun lalu.

3915 dibaca
Berita Harian X