Isnin, 18 March 2019 | 4:06pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pembangkang ketuai PAC ada dalam manifesto PH - Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) kekal terikat dengan manifesto melantik ahli Parlimen pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa tiada masalah untuk mengekalkan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebagai Pengerusi PAC belum muktamad dan boleh dibincangkan.

Anwar berkata , pihak yang mahu pengerusi PAC ditukar juga perlu meneliti penjelasan dan rasional Dr Mahathir berhubung perkara itu.

“Kita boleh bincang semula dan rujuk kepada Perdana Menteri. Pihak yang minta pengerusi ditukar itu kerana manifesto PH jelas menyatakan Pengerusi PAC harus daripada pembangkang.

“Bagaimanapun, perkara ini harus kita luruskan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri.

“Bagi saya, kita masih terikat dengan manifesto tetapi kita lihat penjelasan dan rasional Perdana Menteri dalam perkara ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa Ahli Parlimen PH seperti Hannah Yeoh (PH DAP-Segambut) dan Nurul Izzah Anwar (PH PKR-Permatang Pauh) yang mahu jawatan pengerusi PAC diberikan kepada wakil pembangkang.

Janji ke-16 buku manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhususkan kepada Ahli Parlimen pembangkang, dalam usaha mengembalikan wibawa institusi Parlimen.

Isu membabitkan kedudukan Pengerusi PAC timbul apabila Ronald, yang dilantik ke jawatan atas kapaiti wakil rakyat BN, melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menjadi penyokong kerajaan.

Kelmarin, Dr Mahathir ketika mengulas perkara itu menyifatkan pengekalan Kiandee sebagai Pengerusi PAC tidak menjadi masalah.

638 dibaca
Berita Harian X