Ahad, 17 March 2019 | 10:21pm

450 tan metrik sisa kimia Sungai Kim Kim dilupus

PASIR GUDANG: Sebanyak 150 tan metrik air sungai dan 300 tan metrik tanah bercampur sisa kimia dari Sungai Kim Kim akan dilupuskan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata kesemua sisa kimia bertoksik itu akan dihantar ke kilang pelupusan berlesen.

“Sejumlah 450 tan metrik lagi sisa kimia iaitu 150 tan metrik air sungai dan 300 metrik tan tanah akan dilupuskan.

“Ia akan dibakar dengan kepanasan suhu tinggi antara 800 hingga 1,200 darjah selsius sebelum dihantar ke Bukit Pelanduk, Seremban bagi dilupuskan.

“Kita juga akan membuat pos kawalan tetap di Sungai Kim Kim yang dipantau dua anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 20 Mac ini bagi mengelakkan pencemaran kimia di situ, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

Terdahulu, Osman mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Pagi tadi, media melaporkan sebanyak 550 metrik tan tanah serta enap tercemar dan 700 metrik tan air tercemar dikumpulkan sehingga 4 petang semalam, bagi dilupuskan.

Sementara itu, Osman berkata, pihaknya menjangkakan tindakan susulan (tangkapan) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh dua hari ini.

“Kita serius menangani isu pencemaran sisa kimia di Johor dan pemantauan akan diteruskan di Sungai Kim Kim dan kawasan lain, ” katanya.

Beliau berkata, keputusan sama ada sekolah akan dibuka atau terus ditutup akan diputuskan esok selepas mendapat laporan penuh bacaan kualiti udara di kawasan terjejas.

Osman (tengah) diiringi anggota HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meninjau keadaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. - NSTP/Adi Safri
Osman (kanan) menunjukkan isyarat 'ok' ketika mengadakan tinjauan di kawasan insiden pencemaran Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X