Ahad, 17 March 2019 | 7:03pm

Saya sentiasa ikuti isu pencemaran - Sultan Johor

PASIR GUDANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah baginda sentiasa mengikuti perkembangan insiden pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang dari semasa ke semasa.

Titah Sultan Ibrahim, pada masa sama baginda juga sering mendapatkan laporan termasuk perkembangan terkini kerja pembersihan sisa kimia yang sedang giat dijalankan pihak berkuasa di Sungai Kim Kim.

Baginda bertitah, laporan berkenaan turut merangkumi jumlah semasa mangsa sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat pencemaran sisa kimia.

“Saya mengambil serius kejadian pencemaran sisa kimia yang berlaku di Pasir Gudang dan sentiasa mengikuti segala perkembangan berkaitan insiden itu.

“Malah pada hari ini juga, saya turut mendapatkan laporan terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor,” titah baginda dalam entri terbaru pada laman rasmi Facebook baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, jangan ada pihak sengaja membuat andaian sewenang-wenangnya kononnya baginda tidak mengambil berat insiden itu.

“Saya bersama Permaisuri Johor (Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah), malah Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) turut melawat mangsa di hospital.

“Pada masa sama, kami juga sering mengambil berat khususnya keperluan pasukan penyelamat supaya kerja pembersihan sisa kimia dapat dijalankan dengan sempurna,” titah baginda.

605 dibaca
Berita Harian X