Ahad, 17 March 2019 | 6:58pm
Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh dan Datuk Seri Ronald Kiandee. - Foto NSTP

Berundurlah tanda hormat semangat PH

KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee boleh memilih untuk melepaskan jawatan itu secara sukarela sebagai tanda menghargai semangat dan konsensus yang sudah dipersetujui kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh berkata, walaupun beliau boleh memilih untuk terus memegang jawatan itu atas persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun tindakan itu dibimbangi bakal dipersoalkan pemimpin pembangkang dan rakyat.

“Pemilihan beliau sebelum ini dibuat kerana ketika itu beliau adalah wakil rakyat pembangkang, jadi selepas parti komponen PH menerima beliau sebagai ahli, sudah tentu ia menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan pemimpin pembangkang dan rakyat.

“Kalau boleh, jawatan sebagai Pengerusi PAC ini disandang oleh mereka yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kerajaan Pusat, maknanya, biarlah ia dipilih dalam kalangan (ahli Parlimen) pembangkang kerana tujuan utama mereka dilantik adalah bagi memastikan ‘check and balance’ dalam hal-hal berkaitan perbelanjaan negara boleh dilakukan dengan lebih telus dan berintegriti,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian melalui aplikasi WhatsApp, ketika diminta mengulas mengenai status jawatan Pengerusi PAC yang disandang Ronald selepas ahli Parlimen Beluran itu diterima menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Jumaat lalu.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berpendapat, kerajaan PH perlu melihat kembali manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, terutamanya membabitkan lantikan untuk jawatan seperti Pengerusi PAC ini.

“Beliau (Ronald) pun sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini semalam, jadi kita harap benda ini boleh diselesaikan dengan baik dengan menghormati asas yang dipersetujui semua parti komponen dalam PH pada PRU-14 lalu.

“Kalau boleh, kerajaan Pusat melantik ahli Parlimen (pembangkang) yang lain untuk jawatan berkenaan (Pengerusi PAC) dan saya yakin pucuk pimpinan kita (PH) lebih tahu apa yang terbaik untuk semua pihak,” katanya yang juga ahli Parlimen Kuantan.

Ronald dilaporkan berkata beliau sedia melepaskan jawatan itu jika diminta oleh Dr Mahathir, namun Perdana Menteri dalam sidang medianya menjelaskan, Ronald tidak perlu berbuat demikian kerana jawatan sebagai Pengerusi PAC tidak membabitkan dasar dalam kerajaan secara langsung.

Sebelum ini, pembangkang sebulat suara menamakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad sebagai calon Pengerusi PAC yang baharu.

2869 dibaca
Berita Harian X