Ahad, 17 March 2019 | 2:16pm

Sultan Johor murka

PASIR GUDANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, murka terhadap pihak menyebarkan fitnah kononnya baginda terbabit dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

Dalam entri di laman rasmi Facebook baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan pihak tertentu supaya jangan cuba mengalih perhatian rakyat atas kelemahan pihak yang sepatutnya menjalankan tugas mereka.

Baginda bertitah sebaliknya tumpuan harus diberikan kepada cara menyelesaikan isu itu secara tuntas.

“Sudah sampai kepada pengetahuan saya bahawa ada pihak tertentu yang cuba menyebarkan fitnah bahawa saya terbabit dalam perniagaan kilang yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya berhenti mempolitikkan isu ini. Sila bawa bukti yang sahih jika benar saya terbabit dalam perniagaan kilang itu kerana saya tidak pernah gentar dan tunduk pada fitnah yang memburukkan Institusi Diraja Johor,” titah baginda.

Berita Harian X