Ahad, 17 March 2019 | 12:45pm
PEJABAT Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand sedia bantu keluarga mangsa

KUALA LUMPUR: Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, sedia menghulurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga rakyat Malaysia yang cedera parah akibat ditembak dalam serangan ke atas dua masjid di Christchurch, pada Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo, ketika dihubungi hari ini, turut mengesahkan ahli keluarga Mohd Tarmizi Shuib, Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar, sudah berada di Christchurch.

Justeru, Nur Izzah Wong berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan ahli keluarga ketiga-tiga rakyat Malaysia itu bagi mengenal pasti bentuk bantuan termasuk kemudahan logistik untuk memudahkan mereka berulang alik dari hospital ke tempat penginapan.

“Saya dimaklumkan oleh pihak Hospital Christchurch bahawa keadaan Mohd Tarmizi, Mohd Nazril dan Rahimi kini semakin stabil serta sudah boleh menerima pelawat.

“Malah, saya difahamkan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, turut meluangkan masa melawat Rahimi yang di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Christchurch (semalam),” katanya.

Nur Izzah juga mengesahkan Perdana Menteri New Zealand memberi jaminan akan menanggung sebahagian kos pengurusan dan penghantaran pulang jenazah jika ada rakyat Malaysia yang terkorban.

Katanya, Ardern juga memberikan jaminan akan mempercepatkan proses pengesahan mangsa yang terkorban bagi membolehkan jenazah diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing secepat mungkin untuk bagi membolehkan urusan pengebumian dan penghantaran pulang ke negara masing-masing.

“Bagaimanapun, polis New Zealand menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa yang meninggal dunia akibat serangan pengganas kerana ramai dalam kalangan mereka tidak membawa dokumen pengenalan diri ketika pergi menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.

“Kita juga masih menunggu pengesahan pihak berkuasa New Zealand mengenai status kehilangan seorang lagi rakyat Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang gagal dikesan selepas insiden itu.

“(Setakat ini) Kita terpaksa mengkategorikan Mohd Haziq sebagai orang hilang selagi tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa New Zealand mengenai misteri kehilangannya,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan nasib seorang rakyat Malaysia yang hilang selepas serangan itu masih tidak diketahui setakat petang kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dipetik sebagai berkata Mohd Haziq belum dapat dikesan dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan mangsa.

Berita Harian X