Ahad, 17 March 2019 | 12:19pm

Kawasan tercemar Sungai Kim Kim sudah selesai dibersihkan

PASIR GUDANG: Keseluruhan 1.5 kilometer (km) kawasan tercemar sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, di sini, sudah selesai dibersihkan selepas kerja pembersihan dijalankan tanpa henti selama empat hari.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata pemantauan lanjut akan dilakukan di sungai berkenaan bagi memastikan ia benar-benar selamat dan semua gas kimia dinyahkan daripada kawasan terbabit.

“Kerja pembersihan Sungai Kim Kim daripada sisa kimia berbahaya, secara keseluruhannya sudah selesai di sepanjang 1.5km kawasan tercemar.

“Namun, pemantauan lanjut akan dijalankan di lokasi terbabit sehingga keadaan benar-benar stabil di situ.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kimia Malaysia akan digerakkan bagi memeriksa kualiti udara di 30 sekolah dalam radius antara lima hingga sembilan kilometer dari Sungai Kim Kim, hari ini.

“Sebanyak 30 kumpulan akan dihantar ke 30 sekolah terbabit berbekalkan alat pengesan gas bagi memantau kualiti udara, selain mengesan sama ada wujud kehadiran gas berbahaya di situ.

“Laporan penuh kualiti udara di lokasi yang dipantau akan diumumkan esok,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, Bee Yin turut menunjukkan demonstrasi cara mengukur kualiti udara menggunakan alat pengesan gas.

Ditanya mengenai tugas dilaksanakan Jawatankuasa Saintifik ditubuhkan kelmarin pula, beliau berkata, jawatankuasa itu sedang menjalankan kajian dan pemantauan mengenai kesan serta hubung kait sisa kimia yang dibuang terhadap persekitaran di kawasan tercemar.

“Jawatankuasa itu sedang memantau sama ada sisa kimia berkenaan meresap ke tanah, persekitaran dan air bawah tanah.

“Lebih penting, jawatankuasa berkenaan juga sedang memantau kesan selepas pembersihan dijalankan bagi mengelakkan terjadi keracunan gas semula yang menjejaskan penduduk sekitar,” katanya.

1704 dibaca
KERJA pembersihan Sungai Kim Kim dijalankan tanpa henti selama empat hari. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X