Sabtu, 16 March 2019 | 8:36pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern (tengah) memeluk anggota komuniti Muslim ketika bertemu di Christchurch. - Foto EPA

Malaysia hargai tindakan pantas New Zealand pulih ketenteraman

PUTRAJAYA: Wisma Putra hari ini menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri New Zealand, Winston Peters, bagi menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat negara itu serta mangsa selain keluarga yang terbabit dalam kes tembakan di dua masjid di Christchurch.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata beliau yang bercakap dengan Peters, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan New Zealand atas tindakan pantas mereka memulihkan ketenteraman di kawasan yang terjejas dan memudahkan rawatan perubatan untuk mangsa.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya turut menyampaikan mesej takziah kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, sehingga jam 3 petang semalam, tiga rakyat Malaysia cedera dalam insiden berkenaan dan kesemua mereka sedang dirawat di hospital.

“Seorang rakyat Malaysia masih hilang dan usaha untuk mencarinya sedang berjalan.

“Dua pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington kini berada di Christchurch, manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala), Kementerian Luar akan berlepas hari ini untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka,” katanya.

Berhubung kenyataan Senator Fraser Anning dari Australia yang menyalahkan serangan maut pengganas semalam disebabkan fanatik Muslim, dasar penghijrahan New Zealand dan Islam pada umumnya, adalah kejam dan menjijikkan.

"Kenyataannya menafikan hakikat bahawa tembakan di Christchurch adalah tindakan pengganas terhadap orang Islam yang tidak bersalah di tempat suci mereka, di mana pelaku adalah seorang ekstremis dan organisasi politik sayap kanan.

“Kenyataannya juga menafikan bahawa tembakan itu itu tidak wajar dan pada dasarnya adalah jenayah oleh pembunuh yang didorong rasa fanatik serta kebencian melampau terhadap umat Islam yang berhijrah,” katanya.

Saifuddin menegaskan, walaupun kenyataan Anning tidak mencerminkan pandangan kerajaan Australia, ia tidak bertanggungjawab dan keterlaluan serta boleh mencetuskan lebih banyak jenayah terhadap umat Islam di seluruh dunia.

“Dalam tempoh kegelapan dan kebencian terhadap kemanusiaan ini, Malaysia berdiri bersama Ardern dan kerajaannya dalam mengutuk semua keganasan.

“Kepimpinan harus menjurus ke arah kedamaian serta keharmonian antara manusia, melalui dialog rasional, wacana dan integrasi aman antara manusia berlainan bangsa, agama atau negara,” katanya.

1838 dibaca
Berita Harian X