Sabtu, 16 March 2019 | 5:58pm
IBU kepada Rahimi Ahmad, Rokiah Mohammad akan berlepas ke Christchurch, New Zealand untuk bertemu Rahimi Ahmad, mangsa yang cedera dalam insiden tembakan rambang di masjid, Christchurch, New Zealand. - NSTP/Danial Saad

Anak sulung Rahimi trauma

GEORGETOWN: Anak sulung Rahimi Ahmad yang berjaya diselamatkan dalam kejadian tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand dilapor berada dalam keadaan trauma teruk dan perlukan perhatian khusus dari ibunya.

Ahmad Razif, 11, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan masih trauma dengan kejadian terbabit kerana menyaksikan sendiri insiden serangan berkenaan ketika berada di Masjid Al-Noor.

Abang kepada Rahimi, Rosdi, 42, berkata perkara itu dimaklumkan adik iparnya, Nor Azila Abdul Wahid, 39, selain menjelaskan keadaan anak saudaranya itu enggan bersama individu lain kecuali ibunya sahaja.

"Nor Azila juga memaklumkan yang Rahimi sudah menjalani pembedahan kedua untuk membuang peluru yang terkena tulang belakangnya pagi ini, dan dia masih belum sedar namun di laporkan dalam keadaan stabil.

"Semalam Rahimi menjalani pembedahan membuang peluru yang terkena perutnya dan saya serta ibu (Rokiah Mohammad, 65) yang ke sana hari ini berharap dia dapat pulih dan kembali sihat," katanya kepada pemberita ketika di temui di Lapangan Terbang Antarabangsa  Pulau Pinang (LTAPP), di sini, hari ini.

Rosdi dan Rokiah, diiringi EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berlepas ke Christchurch, New Zealand, pada jam 3.30 petang tadi.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 49 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan) semalam.

Selain Rahimi, dua lagi rakyat Malaysia iaitu Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Selangor dan Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Alor Setar, Kedah juga dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood dengan ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di hospital di sana.

Rosdi berkata, dia dan ibunya tidak sabar untuk melihat sendiri keadaan Rahimi serta keluarganya di Christchurch dan dijangka berada di sana selama sebulan, bergantung kepada keadaan kesihatan adiknya.

"Saya dan keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama kerajaan negeri yang membantu membawa kami ke sana untuk melihat sendiri keadaan adik," katanya.

Sementara itu, Boon Poh berkata, pihak kedutaan Malaysia di New Zealand akan menguruskan proses Rokiah dan Rosdi untuk melawat Rahimi di hospital di sana.

"Kami sentiasa berhubung dengan dengan pihak kedutaan Malaysia di New Zealand dan mereka akan menguruskan Rokiah dan Rosdi untuk melawat Rahimi selepas kami tiba di sana nanti. Tiket penerbangan mereka juga ditempah untuk tempoh sebulan, namun segalanya terpulang kepada keadaan Rahimi

"Saya juga berterima kasih kepada semua agensi kerajaan dan swasta yang terbabit dalam membantu mempercepatkan urusan keluarga Rahimi terbang ke New Zealand hari ini," katanya.

2517 dibaca
Berita Harian X