Sabtu, 16 March 2019 | 5:22pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Owee Ah Chun

Petugas pembersihan sisa kimia perlu dilengkapi PPE

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menasihatkan semua petugas yang terbabit dalam kerja pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Johor supaya mengikuti prosedur.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata petugas perlu bersedia dan dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika melakukan kerja pembersihan sisa kimia.

“Petugas yang turun membersihkan sungai perlu dilengkapi dengan alat perlindungan pernafasan, pakaian keselamatan, sarung tangan dan alat perlindungan mata.

“Penggunaan ‘Breathing Apparatus’ juga digalakkan jika tahap kepekatan pencemaran yang tinggi seperti direkodkan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, petugas media yang membuat liputan di kawasan bencana itu juga perlu dilengkapi dengan PPE seperti topeng muka.

Bagaimanapun, katanya petugas media perlu dihadkan membuat liputan hanya di kawasan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Bagi petugas yang sentiasa bergerak ke sekitar kawasan zon merah adalah digalakkan dilengkapi dengan peralatan PPE. Namun jika berada di luar kawasan ini, wajar untuk memakai peralatan perlindungan pernafasan jenis N95/R95.

“Begitu juga petugas yang berada di bilik gerakan bencana seperti badan bukan kerajaan (NGO), pegawai kesihatan, sukarelawan dan lain-lain digalakkan memakai topeng muka,” katanya.

Berita Harian X