Sabtu, 16 March 2019 | 4:39pm
PENGARAH Pusat Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din. - NSTP/Salhani Ibrahim

Kesan jangka panjang sisa kimia Sungai Kim Kim

KUALA LUMPUR: Baki bahan kimia susulan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, boleh masuk ke rantaian makanan seperti meresap ke tumbuhan dan hidupan air sehingga memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang.

Pengarah Pusat Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din, berkata walaupun pembersihan air di kawasan sisa bahan kimia, kajian berterusan terhadap persekitaran perlu dijalankan.

Katanya, analisa dan sampel kesan baki bahan kimia dalam air, tanah, tumbuhan, biodiversiti dan udara perlu dijalankan bagi memastikan kawasan itu benar-benar bebas daripada sisa bahan kimia.

“Kalau sisa bahan kimia masih ada, ia akan masuk ke dalam tanah, diserap sekelilingnya seperti tumbuhan dan juga hidupan air,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Mohd Fadhil mengakui secara teori, sisa kimia itu kurang memberi kesan kerana bahan kimia itu mudah meruap berbanding bahan sisa logam berat yang mudah masuk dalam rantaian sehingga menyebabkan kesan lebih besar.

“Kalau bahan logam berat, ia sudah masuk ke dalam rantaian makanan dan menyebabkan kesan lebih besar apabila proses pembersihan lewat dijalankan,” katanya

Bagaimanapun katanya, sampel tanah air dan udara perlu sentiasa dijalankan bagi mengesan saki baki bahan kimia.

Beliau berkata, ujian sampel tanah dan air juga perlu dijalankan ketika kerja pembersihan bagi memastikan keadaan pencemaran.

“Sekarang ini tempoh kritikal ketika proses pembersihan sisa kimia dijalankan tetapi pada masa sama kita kena ada pasukan lain untuk memeriksa tahap sisa kimia bagi memastikan pembersihan yang dijalankan berkesan,” katanya.

1859 dibaca
Berita Harian X