Sabtu, 16 March 2019 | 4:21pm
PENDUDUK tempatan menghadiahkan jambangan bunga di masjid-masjid sekitar Auckland sebagai tanda simpati dan memberi sokongan moral kepada masyarakat Muslim di New Zealand. - Foto Ihsan Nor Zakiah Abdul Hamid

Insiden tembakan rambang tinggalkan trauma

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terutama beragama Islam yang menetap di New Zealand mengakui insiden tembakan rambang semalam, meninggalkan kesan trauma dalam kehidupan seharian berikutan sentimen rasis dan Islamofobia tidak pernah berlaku di negara berkenaan.

Rakyat Malaysia yang menetap 12 tahun di Auckland, Nor Zakiah Abdul Hamid, 48, berkata insiden tembakan rambang yang mensasarkan umat Islam di dua masjid di Christchurch adalah kejadian yang amat mengejutkan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Muslim tetapi turut menimbulkan kemarahan rakyat tempatan.

Beliau yang juga bekas pelajar Universiti Auckland berkata, kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand terutama di Christchurch.

“Kami di Auckland turut merasai trauma kesan kejadian yang berlaku dan ketika tahap keselamatan di New Zealand sudah dinaikkan ke tahap tertinggi. Malah, semua Masjid di Christchurch dan Auckland diarahkan ditutup.

“Malah, kebetulan hari ini saya menghadiri majlis perkahwinan seorang kenalan Melayu di sini (Auckland), dan apa yang janggalnya majlis ini turut dikawal ketat beberapa polis New Zealand. Tidak pernah berlaku situasi seperti ini sepanjang saya menetap di New Zealand dan ia sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Zakiah yang menetap di New Zealand bersama suami Suhaimi Mohamad, 48, dan tiga anak berusia 20 hingga tujuh tahun terus mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengarahkan anak sulungnya yang berada di sebuah universiti di Auckland supaya segera pulang ke rumah.

“Malah, kawan-kawan saya terutama rakyat Malaysia di Christchurch sangat trauma dengan kejadian ini terutama ahli keluarga mangsa. Ketika ini belum ada arahan daripada pihak berkuasa New Zealand berhubung penutupan sekolah di Auckland. Namun, kita bimbang kerana di sini (Auckland) ada sebuah sekolah Islam dan saya takut ia menjadi sasaran serangan.

“Persatuan Komuniti Muslim di sini juga agresif dalam menyalurkan maklumat dan memberikan sokongan moral kepada masyarakat Islam di New Zealand. Selain itu, rakyat tempatan juga bersimpati dengan kami dan menzahirkan rasa marah kepada pelaku jenayah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sentimen rasis dan Islamofobia tidak pernah berlaku di New Zealand kerana penduduk di negara berkenaan hidup dalam keadaan harmoni selain saling bertolak ansur antara satu sama lain.

“Ketika ini pekarangan masjid-masjid di New Zealand dilimpahi dengan kalungan bunga dan kad ucapan takziah yang dizahirkan penduduk tempatan. Malah, mereka sendiri marah dan tidak boleh menerima insiden berkenaan.

“Sejak semalam, rakyat New Zealand juga tidak putus-putus memberi bantuan termasuk bekalan makanan dan sokongan moral kepada masyarakat Muslim,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar dari Universiti Canterbury yang enggan dikenali berkata, langkah berjaga-jaga masih diambil di Christchurch dan pihak berkuasa melarang orang awam terutama masyarakat Muslim berada di luar kawasan rumah dan jalanan.

“Arahan supaya semua penduduk terutama wanita bertudung terus berada di rumah ini dilaksanakan untuk mengelak menjadi mangsa sekiranya berlaku serangan susulan.

“Malah, ketika ini pihak berkuasa New Zealand masih lagi menutup kawasan sekitar kejadian dan meminta penduduk Muslim terus berada di rumah masing-masing dan elak berada di tempat umum buat masa terdekat sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan,” katanya.

Berita Harian X