Sabtu, 16 March 2019 | 11:48am
MANGSA sisa kimia mendapatkan rawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - Foto Adi Safri

Pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang: Jumlah pesakit menurun

PASIR GUDANG: Jumlah pesakit mendapat rawatan akibat pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, di sini, menurun kepada 371 orang berbanding 491 mangsa, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata jumlah terkini itu menunjukkan penurunan bilangan pesakit yang masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai.

“Seramai 185 mangsa yang mendapat rawatan di tiga hospital itu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, manakala 65 pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad.

“Seramai lapan orang masih diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, kerja pembersihan yang dikawal selia Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih diteruskan oleh kontraktor menggunakan jentera dan mesin secara manual.

“Kerja pembersihan dilakukan mengikut tiga syif 24 jam sehari,” katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian ketika kerja pembersihan dilakukan oleh pihak kontraktor yang dilantik kerajaan negeri.

Katanya, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JAS sentiasa memantau kerja pembersihan dan mengambil indeks kualiti udara.

Selain itu, beliau berkata, sejak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) beroperasi, pelbagai bantuan diterima daripada individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta berbentuk sumbangan makanan, peralatan keselamatan dan perubatan, serta khidmat konsultasi daripada pakar berkaitan.

Orang ramai dan agensi yang ingin menyampaikan bantuan serta sumbangan boleh menghubungi PKOB melalui talian 07-2522143 atau 07-2532143 atau ke Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

567 dibaca
Berita Harian X