Sabtu, 16 March 2019 | 11:02am
MOHD Redzuan Md Yusof.

Tembakan di masjid New Zealand: BERSATU sifatkan serangan pelampau domestik tersusun

MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan serangan ganas menembak umat Islam di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam, sebagai tindakan pelampau domestik yang tersusun.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata malah ada pihak seakan menyalahkan Islam sebagai punca kejadian, sedangkan jelas umat agama itu yang menjadi mangsa serangan.

“Insiden di Christchurch adalah satu tragedi cukup mengecewakan dan wajar dikutuk sekeras-kerasnya. Tidak perlu menggunakan istilah lembut seperti ‘gunmen’ dan sebagainya. Ini adalah kejadian dirancang teliti kumpulan pelampau domestik.

“Ini juga bukan masanya untuk kita membakar semangat kebencian. Kerajaan New Zealand perlu diberi sokongan padu bagi menangani isu pelampau domestik seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mohd Redzuan yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri menegaskan, tidak perlu menyalahkan Islam dalam insiden berkenaan, sebaliknya memahami masalah ditimbulkan pelampau terbabit.

Menteri Pembangunan Usahawan itu turut meminta umat Islam di negara ini bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa New Zealand untuk menjalankan tugas berhubung kes berkenaan.

“Saya amat bersimpati dengan mangsa. Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra pasti sedang berusaha memastikan semua urusan berkait kesejahteraan dan keselamatan rakyat kita di sana dapat disegerakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Hingga kini, kejadian itu dilapor sudah mengorbankan 49 mangsa dan puluhan lagi cedera dengan turut membabitkan dua rakyat Malaysia.

384 dibaca
Berita Harian X