Sabtu, 16 March 2019 | 12:33am
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow. - Foto Danial Saad

Exco, ADUN bersama anggota keluarga mangsa ke Christchurch

GEORGETOWN: Wakil kerajaan negeri Pulau Pinang akan bersama-sama anggota keluarga Rahimi Ahmad, mangsa yang cedera dalam insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, ke negara itu, esok.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir akan mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42.

Rahimi, 39, adalah antara dua rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood serta kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Chow dalam kenyataan malam ini, berkata kerajaan negeri ​​​​​​​mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa serta berpuluh-puluh mangsa mengalami kecederaan.

Rahimi dilaporkan menetapkan di negara itu bersama isterinya, Nor Azila Mohammad, 39, yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang perubatan serta dua anaknya, Ahmad Razif, 11 dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.

– BERNAMA

2267 dibaca
Berita Harian X