Jumaat, 15 March 2019 | 9:35pm
ROKIAH Mohammad menunjukkan gambar anaknya, Rahimi Ahmad ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Binjai Bayan. - Foto BERNAMA

Ibu, abang Rahimi berlepas ke New Zealand esok

GEORGETOWN: Keluarga salah seorang rakyat Malaysia yang terbabit dalam tragedi tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, iaitu Rahimi Ahmad, akan diterbangkan ke negara itu esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata penerbangan berkenaan adalah ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahaya.

“Saya, EXCO Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh dan Marzuki sedang uruskan tiket penerbangan ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, dan anak lelakinya, Roshidi, 42.

“Mereka dijangka bertolak ke Christchurch, New Zealand, esok, dengan butiran lengkap penerbangan berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 40 nyawa dan lebih 20 orang cedera.

Kerajaan New Zealand turut mengumumkan Christchurch ditutup susulan insiden itu.

Rahimi, 39, yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu menetap di New Zealand bersama isterinya, Nor Azila Mohammad, 39, yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan serta dua anaknya, Ahmad Razif, 11, dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.

4199 dibaca
Berita Harian X