Jumaat, 15 March 2019 | 8:57pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Seluas 680 meter sudah dibersihkan - Bee Yin

PASIR GUDANG: Kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan sehingga jam 4 petang tadi.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kerja pembersihan berkenaan dilakukan selama 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik membabitkan 90 pekerja bermula Rabu lalu.

“Sejumlah 250 beg besar berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar dikumpulkan dalam operasi yang bermula sejak 13 Mac lalu dan akan dilupuskan ke kilang yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

“Kawasan 680 meter berkenaan juga adalah yang paling tercemar dan ini adalah kemajuan yang amat baik.

“Cuma kita sedang memantau apa impak atau gas yang akan keluar ke udara ketika pembersihan dilakukan, namun alat pengesan gas sudah diletakkan di lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.

Sementara itu, Bee Yin berkata, Jawatankuasa Saintifik ditubuhkan hari ini, bagi membantu kerajaan Johor menyiasat dan mengenal pasti punca serta kesan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim.

Katanya, ia akan dipengerusikan oleh Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff dan dianggotai agensi termasuk JAS, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, PETRONAS selain Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Tugas jawatankuasa ini adalah pengurusan data, menghalang gelombang ketiga gas beracun, pemantauan alam sekitar serta penerobosan kimia berbahaya ke dalam air bawah tanah serta kandungan tanah dasar sungai, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata, tren penurunan mangsa yang dimasukkan ke hospital direkodkan selepas sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Katanya, gelombang kedua pengewapan gas kimia berbahaya pada Rabu lalu mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 178 dimasukkan ke hospital.

“Semalam pula seramai 113 mangsa dimasukkan ke hospital, manakala hari ini terus menurun kepada 32 mangsa.

“Bagaimanapun kita sedang memantau dengan lanjut apa lagi gas yang akan mengewap ketika kerja pembersihan dijalankan kerana bimbang berlaku gelombang ketiga dengan mangsa dirawat ke hospital akan meningkat, ” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, seramai 73 mangsa yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Sehingga 3 petang tadi, seramai 480 mangsa mendapat rawatan saringan awal di pusat rawatan awal, Stadium Tertutup Pasir Gudang.

“Daripada jumlah itu, hanya 20 mangsa dirujuk ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.

884 dibaca
Berita Harian X