Jumaat, 15 March 2019 | 7:08pm
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Masjid Cha’ah. - Foto Ahmad Ismail

Pencemaran Sungai Kim Kim: Sultan Johor berkenan sertai 1,000 adakan solat hajat

SEGAMAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyertai lebih 1,000 jemaah Masjid Cha’ah menunaikan Solat Sunat Hajat bagi memohon perlindungan ekoran pencemaran Sungai Kim Kim yang menimpa Pasir Gudang.

Sultan Ibrahim berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 1.00 tengah hari dengan disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Terdahulu, baginda turut berkenan merasmikan masjid itu dengan menandatangani plak perasmian, seterusnya menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah dan pemimpin tempatan serta ketua jabatan.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadot.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Cha’ah Sukaimi Boyamin berkata, pihaknya gembira apabila baginda hadir ke masjid berkenaan untuk merasmi dan seterusnya menunaikan Solat Jumaat.

Malah lebih membanggakan masjid itu turut menjadi antara lokasi untuk menunaikan Solat Sunat Hajat bagi memohon perlindungan tragedi yang menimpa Pasir Gudang, hari ini, katanya.

“Masjid Chaah ini, yang dibina sejak 1946, mulai dinaiktaraf secara keseluruhannya pada April 2015 yang siap setahun kemudian kini mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah berbanding hanya 600 jemaah sebelum ini.

“Ruang di rumah ibadah itu menjadi terhad khususnya ketika solat Jumaat ekoran kepadatan penduduk yang semakin bertambah,” kata beliau. – BERNAMA

424 dibaca
Berita Harian X