Jumaat, 15 March 2019 | 5:06pm
EXCO Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal (kanan). - Foto Adi Safri

Dua pusat rawatan awal dalam zon merah ditutup

PASIR GUDANG: Penutupan dua pusat rawatan awal mangsa pencemaran sisa kimia berbahaya di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar, petang semalam disebabkan keduanya berada di dalam zon merah pada radius satu kilometer (km) dari Sungai Kim Kim, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana semalam memutuskan hanya sebuah pusat rawatan awal dibuka di Stadium Tertutup Pasir Gudang berikutan kedudukannya berada di zon selamat.

“Pemindahan dua pusat rawatan awal berkenaan berikutan ia berada dalam zon merah kawasan pencemaran malah lokasi baharu di stadium tertutup lebih besar dan dapat menampung ramai mangsa.

“Stadium Tertutup Pasir Gudang juga terletak di zon hijau iaitu kawasan selamat dengan jaraknya lima km dari kawasan tercemar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai pencemaran air yang tersebar sehingga ke Sungai Tiram.

“Kita juga sedang memeriksa lebih lanjut dakwaan pencemaran udara merebak sehingga ke Johor Port kerana tiada laporan diterima setakat ini.

“Bagi memastikan keadaan terus terkawal, orang awam dinasihatkan untuk tidak datang ke kawasan tercemar bagi menyaksikan kerja-kerja pembersihan kerana kawasan berkenaan terdedah kepada bahaya jika tiada pakaian bersesuaian.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas di pusat rawatan awal, di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, orang awam juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti di luar serta memakai penutup hidung dan mulut.

355 dibaca
Berita Harian X