Jumaat, 15 March 2019 | 4:37pm
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau pun menyebarkan rakaman video berhubung insiden tembak-menembak di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang berlaku hari ini.

Jangan sebar, kongsi rakaman video tembakan di masjid Christchurch - SKMM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi atau pun menyebarkan rakaman video berhubung insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand hari ini.

Menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan, tindakan itu adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terbabit.

“Pada masa sama, pihak SKMM akan turut bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM juga menegaskan, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Menurutnya, suruhanjaya itu memandang serius perkara ini dan mana-mana pihak yang terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Media antarabangsa melaporkan, penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid di bandar ini ketika jemaah sedang bersolat Jumaat dan membunuh beberapa mangsa dipercayai turut menyiarkan secara langsung serangan itu di media sosial.

Satu akaun Twitter dengan nama Jack Dawkins menyiarkan video yang memaparkan seorang lelaki menggunakan senjata automatik melepaskan tembakan dalam sebuah masjid.

Video itu turut tertera “amaran rakaman sensitif ” dan tanda pagar Christchurch.

4848 dibaca
Berita Harian X