Jumaat, 15 March 2019 | 3:17pm
PENGARAH Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dakwaan kematian akibat sisa kimia palsu - Pengarah Kesihatan Johor

PASIR GUDANG: Jabatan Kesihatan Johor menafikan status di laman Facebook semalam yang mendakwa berlaku kematian akibat kes pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim,di sini.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz, berkata status berkenaan dimuat naik pengguna Facebook menggunakan nama Sazali Samsudin.

“Jabatan Kesihatan Johor menegaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang kematian membabitkan kes pencemaran sisa kimia berbahaya di Pasir Gudang.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada maklumat palsu yang boleh mencetus ketidaktenteraman awam.

“Masyarakat perlu lebih peka dan hanya mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berwajib, ” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam status yang dimuat naik kira-kira jam 2.52 petang semalam itu antara lain menyatakan mengenai kematian anak saudara pengguna berkenaan yang didakwa meninggal dunia di Taman Cendana disebabkan keracunan toksik.

Sementara itu, Dr Selahuddeen berkata, maklumat terkini dari semasa ke semasa akan diberikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor.

628 dibaca
Berita Harian X