Jumaat, 15 March 2019 | 2:53pm

Penembak tunjuk wajah sebelum mengganas

KUALA LUMPUR: Lelaki yang menembak puluhan jemaah di sebuah masjid di bandar Christchurch, New Zealand, menunjukkan wajahnya sebelum melakukan perbuatan ganas itu dalam siaran langsung di akaun Facebooknya.

Rakaman video siaran itu menunjukkan lelaki itu pada mulanya mengambil senjata dalam kereta yang diletakkan di tepi masjid itu sebelum berjalan ke masjid dan terus melepas berdas-das tembakan bermula di luar masjid.

Lelaki itu juga dilihat beberapa kali mengisi peluru, selain berulang kali menembak mangsa yang sudah terbaring, malah turut menembak secara dekat seorang jemaah yang cuba melarikan diri.

Lelaki terbabit kemudian berlari keluar dari masjid dan terus melepaskan tembakan rambang ke tepi jalan sebelum dilihat kembali ke keretanya untuk mengambil senjata lain.

Sejurus kemudian, penembak itu berlari ke tepi jalan dan terus melepaskan berdas-das tembakan, malah turut berkata: “Looks like we won't get the bird today boys" (nampaknya kita tidak dapat menembak burung hari ini) sebelum masuk semula ke masjid bagi mencari mangsa.

Seolah-olah tidak berpuas hati dengan mangsa yang terbaring atau mahu memastikan semua mangsa sudah meninggal dunia, lelaki itu terus melepaskan berdas-das tembakan pada jarak dekat.

Lelaki itu kemudian berlari keluar masjid sambil terus melepaskan tembakan yang turut mengenai seorang wanita di tepi jalan.

Mangsa wanita itu turut kedengaran meminta pertolongan tetapi lelaki itu sekali lagi melepaskan dua das tembakan tanpa belas kasihan ke arah mangsa sebelum dia kembali semula ke keretanya.

7720 dibaca
RAKAMAN secara langsung yang dibuat suspek. - Foto Reuters
WAJAH suspek yang menembak puluhan jemaah di sebuah masjid di bandar Christchurch, New Zealand. - Foto Reuters
Berita Harian X