Khamis, 14 March 2019 | 2:57pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kajian wajib imunisasi tumpu sasaran umur, jenis vaksin

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang meneliti sama ada boleh mewajibkan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak berdasarkan sasaran umur dan jenis vaksin yang sesuai.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu antara yang dibincangkan  Jawatankuasa Pasukan Khas yang ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan dan implikasi yang berkaitan, sebelum satu kertas cadangan dibentangkan kepada Kabinet.

“Kementerian dalam proses untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi itu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pendirian kementerian untuk mewajibkan vaksinasi kanak-kanak berikutan kenaikan kes difteria di Johor pada Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya turut meneliti berkaitan tanggungjawab ibu bapa, pusat jagaan, taman asuhan dan sekolah, tanggungjawab penyedia perkhidmatan imunisasi, pengecualian, fi perkhidmatan, penalti dan penguatkuasaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sehingga kini, pelbagai program dan aktiviti advokasi dijalankan di semua peringkat bagi menangani isu keraguan serta penolakan vaksin termasuk bekerjasama dengan NGO, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pejabat Mufti negeri untuk membetulkan pandangan masyarakat terutama tentang hukum dan fatwa berkaitan imunisasi.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-UMNO Tenggara) mengenai bekalan vaksin di hospital kerajaan dan swasta, Dr Dzulkefly memberi jaminan bekalan di kedua-dua  sektor itu mencukupi.

Berita Harian X