Khamis, 14 March 2019 | 2:16pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin. - NSTP/Asyraf Hamzah

Dewan Rakyat bahas usul isytihar darurat di Pasir Gudang petang ini

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membahaskan pengisytiharan darurat kawasan Pasir Gudang, Johor berikutan pencemaran sisa toksik.

Usul dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin itu diluluskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin ketika mengemukakan usul, berkata mengikut peraturan 90(2) dengan persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau mencadangkan usul membahaskan cadangan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang (Hasan Abdul Karim) dilaksanakan dan bahas pada jam 4.30 petang.

Terdahulu Mohamad Arif berkata, beliau telah meneliti permohonan usul yang memenuhi kriteria ditetapkan kerana ia membabitkan kes tertentu, berkepentingan awam dan berkehendakkan disegerakan.

Justeru, beliau memberikan tempoh sejam untuk usul itu dibahaskan bermula jam 4.30 petang ini.

"Sehubungan itu, usul ini diluluskan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (3) untuk dibahas," katanya.

Hasan ketika mengemukakan cadangan usulnya, meminta Dewan Rakyat merundingkan isu pengisytiharan darurat di Pasir Gudang akibat pencemaran sisa toksik.

"Mengikut laporan televisyen TV1, jam 12 tengah malam mengenai kedudukan krisis pencemaran di Pasir Gudang, seramai 506 mangsa dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail dan Sultanah Aminah dan klinik kesihatan. Sembilan orang sudah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 111 sekolah ditutup.

"Statistik ini menunjukkan pencemaran itu sudah merebak dan menjejaskan seluruh kawasan dan Pasir Gudang sudah tidak selamat.

"Kehidupan penduduk terdedah kepada kimia toksik kesan pembuangan kimia haram di Sungai Kim Kim yang mengalir sejauh 1.5 kilometer yang mana bahan kimia tersebar di udara melalui tiupan angin," katanya.

Beliau berkata, penduduk cemas dan dan bimbang dengan kesihatan mereka.

"Maka saya mencadangkan dibahaskan isu ini untuk kepentingan dan hak penduduk Pasir Gudang bagi menjamin kesihatan dan nyawa penduduk," katanya.

Terdahulu, ketika Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) Hassan (PH-PKR Pasir Gudang) mengemukakan usul tergempar pengisytiharan darurat di Pasir Gudang harus dibahaskan hari ini.

"Saya sudah menyerahkan usul itu untuk Speaker benarkan bahas hari ini. Kerajaan Pusat mesti isytihar darurat," katanya.

520 dibaca
Berita Harian X