Khamis, 14 March 2019 | 1:53pm
Presiden MATTA Fair, Datuk Tan Kok Liang. - NSTP/Hafiz Sohaimi

MATTA Fair 2019 tawar pakej pelancongan menarik

KUALA LUMPUR: Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 yang akan diadakan selama tiga hari bermula 15 Mac ini dijangka menarik lebih 110,000 pengunjung dari seluruh negara.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata MATTA Fair yang memasuki edisi penganjuran ke-47 akan menawarkan pelbagai promosi pelancongan dengan pelbagai pakej menarik.

Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu turut mendapat penyertaan daripada pertubuhan pelancongan antarabangsa termasuk Taiwan, Jepun, Korea, Turki dan Macao.

“Pengunjung akan didedahkan dengan pelbagai tawaran diskaun tiket penerbangan, hotel, pakej dan pengenalan terhadap tempat pelancongan baharu iaitu di Guam, Amerika Syarikat.

“Lebih 180 agensi pelancongan akan berada di sini sepanjang tiga hari pameran dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk pengunjung termasuk cabutan bertuah.

“Selain itu, pavilion umrah dengan penyertaan 31 syarikat dengan 87 pempamer turut menawarkan tawaran istimewa bagi pakej umrah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng.

Sementara itu, Tai Neng, berkata tahun ini MATTA Fair bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk syarikat penerbangan rasmi, Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines); taman tema rasmi, Desaru Coast dan Legoland; pelayaran rasmi, Royal Carribean International dan syarikat rasmi pengurup wang berlesen Merchantrade Asia.

“Bagi tahun ini Sabah masih menjadi pilihan kawasan pelancongan domestik tempatan.

“Manakala Taiwan pula adalah kawasan pelancongan kegemaran Asia.

“Pengunjung yang hadir ke MATTA Fair kali ini jangan lepaskan peluang untuk merasai cabutan bertuah yang turut menawarkan tiket penerbangan kelas perniagaan ke London dengan setiap perbelanjaan RM300,” katanya.

Pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam LRT untuk ke MATTA Fair akan berpeluang menebus pelbagai baucar diskaun di gerai pameran Sunway Putra di tingkat 2, PWTC.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh mengikuti laman sosial Facebook @mattafairkualalumpur atau Twitter @MATTA_FAIR.

326 dibaca
Berita Harian X