Khamis, 14 March 2019 | 1:53pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KKM tambah fasiliti rawatan, doktor

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menyangkal dakwaan kononnya pihaknya lambat membantu mangsa yang terkesan dengan pencemaran bahan kimia beracun Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata rawatan kepada pesakit di hospital kerajaan sudah dimulakan sejak hari pertama kes itu berlaku lagi, membabitkan kes serius dan ringan.

“Ada yang kami masukkan untuk pemerhatian. Jadi isu kami bertindak lewat memang tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, setakat malam tadi, jumlah keseluruhan kes direkodkan sejak 7 Mac lalu adalah 937 kes.

"Kes dilaporkan semalam ada 162 kes. Jumlah ini yang dapatkan rawatan dalam fasiliti kami (KKM). Daripada 162 kes itu, 108 kes dimasukkan ke hospital, yang lain pesakit luar," katanya.

Berkenaan status pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr Dzulkefly berkata, seramai 12 pesakit sedang menerima rawatan tetapi tiada dari kalangan kanak-kanak.

"Sehingga kini saya diberi maklum semua yang berada di ICU dalam keadaan stabil. Dalam ICU tiada kanak-kanak seperti dilaporkan.

"Kita juga ada membuat rawatan antidot. Kami yakin mereka (pegawai perubatan) boleh lakukan sebab toksik ini tidak sampai ke tahap maut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya juga akan menambah fasiliti kesihatan di semua hospital termasuk pegawai perubatan dan jururawat.

"Kami bersedia untuk menangani apa juga penambahan andai berlaku, sebab kami dapati satu trend yang meningkat (mereka yang dapatkan rawatan di hospital) terutama pada sebelah pagi.

"Berdasarkan pola dan trend itu, kita bersedia untuk ambil senario buruk dan kami sedia untuk buat (tambah kakitangan). Kita sudah menggunakan Hospital Permai di mana 60 katil (tambahan) sudah disiapkan.

"Jika perlu kita akan menggerakkannya di hospital berdekatan sama ada di Kulai atau Kota Tinggi," katanya turut memaklumkan 19 kakitangannya termasuk seorang doktor pakar juga menerima kesan daripada pencemaran itu dan sudah dirawat.

Beliau juga menasihatkan semua pihak yang berada di kawasan sekitar mengambil langkah keselamatan dengan mengunjungi pusat kesihatan jika alami simptom muntah, pening, sesak nafas dan pengsan.

Dr Dzulkefly juga mahu penduduk di sekitarnya terutama di kawasan radius 1.5 kilometer supaya menjauhi lokasi berisiko terutama di sekitar sungai berkenaan.

Berita Harian X